PEMBUANGAN BAYI
DI MALAYSIA. SALAH SIAPA?
Dewasa
ini, dada-dada akhbar dan kaca-kaca televisyen kerap kali menyiarkan berita
tentang kes pembuangan bayi yang berlaku di serata bumi Malaysia ini. Lebih
menyedihkan, kes pembuangan bayi yang tidak mengira jantina ini bukan sahaja
berlaku dibandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang malah
turut berlaku di desa-desa dan kampung-kampung. Jika dilihat pada sejarah
tamadun manusia, pada zaman Nabi Musa A.S. bayi-bayi lelaki dibunuh oleh Firaun
setelah mengetahui seorang bayi lelaki akan lahir dan membesar menjadi seorang
nabi lalu menjatuhkan Firaun itu sendiri dan menegakkan agama Allah. Selain
itu, pada zaman jahiliyah pula bayi-bayi perempuan dibunuh dengan kejam kerana
tidak mahu bayi-bayi perempuan itu membesar dan menconteng arang ke muka ibu
dan bapa masing-masing. Namun pada zaman globalisasi ini bayi-bayi kecil yang
tidak berdosa dibuang dan dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan kematian
tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan. Hal ini tidak seharusnya berlaku
di negara Malaysia khususnya yang jelas bahawa negara kita adalah sebuah negara
Islam. Bayi-bayi yang lahir kedunia ini umpama kain putih yang suci lagi bersih
tanpa sebarang noda, apakah salah mereka sehingga bayi-bayi tersebut perlu dibuang
dan dibunuh?
Tambahan
pula, satistik kes pembuangan bayi pada tahun 2005-2010 di Malaysia adalah
sebanyak 472 kes. Dalam jumlah tersebut, 214 bayi yang dijumpai masih bernyawa
dan selebihnya sudah tidak bernyawa. Jika dilihat pada statistik kelahiran yang
dilaporkan dalam akhbar Berita Harian edisi 21 Mac 2010 pula, seramai 17 303 orang
anak luar nikah dilahirkan di seluruh bumi Malaysia ini pada tahun 2009.
Perkara ini sangat membimbangkan namun itulah hakikat yang berlaku pada hari
ini. Apabila remaja masa kini terlalu bebas dan hilangnya rasa bertanggungjawab
dalam diri rakyat khususnya golongan remaja. Jenayah membuang bayi ini sama
sahaja seperti jenayah membunuh. Mengapakah bayi yang tidak berdosa itu sanggup
di buang, dibiarkan kesejukan, dihurung serangga sehingga mengakibatkan kematian
yang sangat menyayat hati. Selain itu, pada tahun 2010, kabinet telah
memutuskan bahawa kes pembuangan bayi akan mula disiasat mengikut seksyen 302
kanun keseksaan yang akan membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit
kesalahan. Walau bagaimana pun, keputusan kabinet ini bagaikan mencurah air ke
daun keladi kerana langsung tidak memberi kesan kepada masalah ini malah kes
pembuangan bayi ini semakin berleluasa. Masalah pembuangan bayi ini tentunya
berkait rapat dengan hubungan sosial yang melampau serta perzinaan yang berlaku
dalam kalangan remaja masa kini. Masalah ini harus segera dibendung sebelum
kudis menjadi tokak. Persoalannya disini apakah punca kepada masalah ini? Dan
bagaimanakah masalah ini dapat diatasi secara intensif?
.jpg)
Rata-ratanya,
kes pembuangan bayi ini dilakukan oleh remaja baik pelajar sekolah mahupun
penuntut di institud pengajian tinggi. Pokok kepada masalah ini adalah sifat
remaja itu sendiri yang sentiasa bersikap ingin tahu, mencuba perkara-perkara
yang baru serta hawa nafsu remaja yang sentiasa melonjak. Nafsu pada dasarnya
bermaksud tempat berkumpulnya kekuatan amarah dan syahwat dama diri manusia.
Allah pernah berfirman dalam surah yusuf ayat ke-53 yang bermaksud
“…sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” Nafsu remaja
terutamanya amat sukar untuk dikawal apatah lagi oleh mereka yang kurang
imannya. Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa nafsu ini umpama seekor kuda
yang liar. Jika ia tidak terdidik kuda liar itu pasti akan mengamuk lalu
menjatuhkan orang yang menunggangnya. Sebaliknya, jika ia berjaya djinakkan,
kuda liar itu dengan mudah dapat ditunggang mengikut mana jua hala tujuan. Oleh
kerana remaja tidak mampu mendidik nafsu dalam diri, mereka keburu dengan nafsu
itu menjadikan mereka tidak waras lalu melakukan perkara-perkara yang dilarang
dalam agama seperti zina dan sebagainya. Bukankah Allah telah berfirman dalam
surah al-Isra’ ayat ke-32 yang membawa maksud, “dan janganlah kamu mendekati
zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk.”
Sudah
terang lagi bersuluh, keluarga, ibu dan bapa khususnya turut menjadi punca
kepada masalah ini apabila kurangnya didikan agama dan moral yang diberikan
kepada anak-anak. Agama itu adalah asas dalam hidup yang akan membawa kepada
akidah yang sejahtera serta keimanan yang mantap. Namun hakikat yang berlaku
sekarang ini adalah sebaliknya. Ibu bapa tidak mempedulikan pendidikan agama
anak-anak, hanya mengharapkan guru-guru di sekolah sahaja seterusnya mengakibatkan
agama anak-anak masa kini hanya tinggal pada nama dan tercatat kad pengenalan
sahaja bukan pada amalan mereka. Situasi ini sedikit sebanyak pernah
diceritakan oleh Baginda Rasulullah saw dalam sebuah Hadis Riwayat al-Baihaqi
yang membawa maksud,
Daripada Ali bin Abi
Talib r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah saw, “Sudah hampir sampai suatu
masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan
tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid
mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah
sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka
berpunca fitnah, dan dari mereka fitnah ini kembali.”
Selain
itu, jika dilihat dari aspek masyarakat pula, masyarakat yang terlalu suka
menghukum tanpa usul periksa dan sikap tidak mahu mengambil peduli turut menjadi punca kepada masalah pembuangan
bayi yang boleh diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan ini.
Dalam negara Malaysia yang aman ini, kita boleh mengatakan bahawa seluruh
rakyat Negara ini sentiasa bersatu padu dan berganding bahu merawat dan
mengubati masalah yang ibarat kudis ini. Namum hakikatnya, rakyat hanya
bersikap sambil lewa dan langsung tidak mempedulikan masalah ini. Mereka
berfikiran masalah ini bukan masalah mereka, ini adalah masalah ibu bapa dan
keluarga mereka yang berbabit sahaja. Apabila perkara ini berlaku kepada
anak-anak mereka, barulah mereka ingin membuka langkah untuk mengatasinya namun
ianya sudah tidak berguna kerana ketika itu nasi sudah pun menjadi bubur. Ini
sama sahaja seperti yang dikatakan oleh Allah swt dalam surah al-Hashr ayat
ke-14 mafhumnya “kamu menyangka mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah
belah.”
Seterusnya,
pokok kepada masalah ini turut dibaja oleh media massa seperti televisyen,
internet, laman-laman sosial, dan majalah hiburan yang terlalu menyiarkan
contoh-contoh yang tidak baik seperti aksi-aksi lucah dan sebagainya. Media
massa sangat memberi impak yang sangat besar kepada remaja masa kini kerana
mereka sangat gemar menonton televisyen, membaca majalah hiburan dan melayari
laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Apa yang membimbangkan ialah
media seperti televisyen kerap menyiarkan cerita atau drama dari barat yang
berunsurkan kuning yang dimana kita tahu ia boleh mempengaruhi remaja. Tambahan
pula, laman sosial seperti You-Tube banyak memaparkan video lucah yang menjadi
guru kepada remaja-remaja masa kini untuk melempiaskan nafsu mereka pada jalan
yang tidak halal iaitu dengan berzina.
Bagaimana
acuan, begitulah kuihnya. Itulah perumpamaan yang sering digunakan untuk
menggambarkan suatu institud pendidikan atau sekolah. Bagaimana guru, begitulah
anak-anak murid. Ya, dari sini kita dapat melihat bagaimana sekolah sangat
penting untuk membentuk remaja-remaja yang bukan sahaja hebat akademiknya,
malah mantap sahsiahnya. Namun apa yang berlaku saat ini, institud pendidikan
hanya menekankan tentang akademik walhal sahsiah pelajar semakin merudum dan
jauh terpesong. Kebanyakan dari warga pendidik teramat ingin meluruskan
anak-anak didik mereka yang telah bengkok, tetapi apabila mereka melakukannya
mereka pula yang terkena dek kerana ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak
lalu menyerang guru tersebut. Buktinya, pelajar mampu belajar di dalam kelas
apabila guru sedang mengajar, tetapi sebaik sahaja guru melangkah keluar dari
kelas tersebut, pelajar mula mengatur strategi untuk melakukan perkara-perkara
maksiat. Malah ada yang sanggup melakukan perkara yang dilaknat Allah itu di
dalam kelas sendiri. Itulah hakikat yang berlaku di sekolah-sekolah harian
sekarang ini. Oleh kerana itu, masalah ini haruslah dibendung sebelum segalanya
terlambat. Golongan sastera terdahulu ada menyatakan bahawa jika ingin melihat
masa depan sesebuah negara itu, lihatlah pada remaja masa kini. Jika golongan
remaja masa kini sebegini, bagaimanakah masa depan negara kita kelak?
Pepatah
ada mengatakan jika ingin melakukan suatu perubahan, haruslah dimulakan dengan
diri sendiri. Benarlah apa yang dikatakan. Untuk mengatasi masalah ini, remaja
itu sendiri perlu mengambil langkah pertama untuk mengubah diri mereka sendiri.
Pertama, dekatkanlah diri dan hati untuk lebih mengenal Allah. Ini adalah
kerana hati manusia yang ingin dijinakkan itu perlulah terlebih dahulu
dikenalkan dan diaja untuk lebih mencintai Allah. Apalah sangat cinta manusia
jika hendak dibandingkan dengan cinta Allah yang tiada tolok bandingnya. Jika
mereka mencintai dan bertaqwa kepada Allah, nescaya mereka akan takut untuk
melakukan maksiat sepertimana yang dikatakan Allah dalam surah al-Naziat ayat
ke-40 dan 41 yang bererti, “Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran
tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya maka sungguh syurgalah tempat
tinggalnya.” Kedua, remaja haruslah memilih sahabat yang baik. Sahabat yang baik itu bagaikan penjual minyak wangi
yang mana kita pasti akan menjadi wangi jika bersahabat dengannya, sebaliknya
sahabat yang jahat bagaikan tukang besi yang mana kita pasti akan mendapat bau
busuk besi jika bersahabat dengannya. Ketiga, remaja itu sendiri haruslah
berusaha untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara haram. Sebagai iktibar,
seorang alim ulama pernah berkata, apabila kamu terlibat dengan perkara yang
haram, suka kepada perkara yang haram, tidur makan dan bernafas kepada perkara
haram, maka yang halal itu akan menjadi jijik bagimu.
Selain
itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini. Ini
adalah kerana ibu bapa adalah guru yang pertama bagi anak-anak bak kata
pepatah, melentur rebung biarlah dari rebungnya. Pertama,ibu bapa seharusnya
mendidik anak-anak dengan pendidikan agama yang secukupnya sejak dari kecil
lagi supaya mereka akan membesar sebagai seorang yang memahami dan mengamalkan
agama bukan seorang yang menjadi fitnah kepada agama. Ini selari dengan sebuah
hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh at-Tabrani yang membawa maksud,
“Tiap-tiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan suci maka kedua ibu
bapanyalah yang menyebabkan ia menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” Kedua,
ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak mereka, dengan siapa mereka
berkawan, apa aktiviti mereka bersama kawan-kawan. Ini untuk mengelakkan
daripada anak-anak remaja terlibat dengan gejala sosial sepeti merokok,
pergaulan bebas, berkapel dan lebih teruk perzinaan. Mungkin akan ada
segolongan yang mengatakan ianya terlalu mengongkong. Ya, ia sedikit
mengongkong pergerakan anak-anak, namun ibu bapa perlu sediakan payung sebelum
hujan. Sebelum anak-anak gadis mereka ditebuk oleh tupai yang tidak
bertanggungjawab moleklah ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak mereka.
Di
samping itu, untuk mengelak masalah ini berleluasa, masyarakat setempat turut
perlu turun padang berganding bahu mengatasi masalah ini. Pertama sekali, dalam
kalangan masyarakat itu sendiri perlu ada kasih sayang yang jitu. Apabila rasa
sayang itu wujud, pastilah masyarakat akan lebih bersungguh untuk mengatasi
masalah ini. Seperti yang dicatatkan dalan buku hadis sahih Riwayat al-Bukhari
dan Muslim yang bermaksud, “Cintailah manusia sepertimana kamu mencintai dirimu
sendiri, maka kamu menjadi muslim.” Kedua, masyarakat kita pada hari ini perlu
lebih sensitif terhadap apa yang berlaku di sekeliling serta memainkan peranan
untuk mengubah ianya menjadi persekitaran yang berasaskan kasih sayang dan
keimanan lagi kondusif. Ketiga, masyarakat perlu saling memaafkan, bersepadu
serta tidak memulaukan golongan yang terlibat khususnya remaja. Imam al-Ghazali
rhm telah menyarankan agar setiap kali melihat orang lain melakukan dosa,
hendaklah dibenci dosanya bukan orang yang melakulakannya dan jangan sesekali
berasa lebih baik daripada orang yang berdosa itu. Dengan ini akan wujudnya
masyarakat yang prihatin seterusnya mampu mengatasi masalah ini.
Tidak
dilupakan, pihak media massa juga tidak ketinggalan untuk memberi sumbangan
dalam usaha untuk mengatasi masalah pembuangan bayi ini. Pertama sekali, pihak
media massa perlulah menyekat program-program hiburan yang boleh meracun
fikiran serta merosakkan akhlak remaja seperti filem-filem dan drama-drama yang
mengandungi adegan-adegan lucah yang boleh menjadi punca kepada kadar gejala
sosial semakin kronik seterusnya menambahkan lagi kadar pembuangan bayi di
negara ini. Keduanya, pihak media massa perlulah menyaiarkan program-program
yang berunsurkan ilmiah serta berfaedah agar dapat menjana pemikiran anak-anak
muda yang lebih sihat.
Selain itu, guru-guru turut
memainkan peranan khususnya unit bimbingan dan kaunseling. Pembelajaran dan
pengajaran tidak seharusnya hanya memfokuskan pada akademik semata-mata
sebaliknya pembentukan sahsiah murid juga adalah sangat penting. Pertamanya,
guru-guru perlu mengenal pasti pelajar yang bermasalah supaya mereka ini boleh
dirujuk pada guru-guru kaunseling yang lebih arif untuk mendapatkan khidmat
kaunseling. Keduanya, pihak sekolah itu sendiri perlu lebih menekankan tentang
pendidikan Islam dan moral untuk pelajar-pelajar bagi membentuk sahsiah pelajar
yang mantap serta akhlak yang bagus. Pendidikan Islam dan moral ini bukan
sahaja penting untuk lulus dalam peperiksaan, malah ianya membantu pelajar
untuk menjadi orang yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara
pada masa akan datang. Ketiga, pihak sekolah perlulah lebih aktif dalam
membanteras masalah ini dengan cara mengadakan ceramah untuk mendedahkan kepada
pelajar keburukan gejala sosial yang melampaui batas serta berkapel. Hai ini
demikian kerana gejala sosial dan berkapel secara tidak langsung akan membawa
kepada perzinaan.
Akhir
sekali, kerajaan juga perlu melibatkan diri untuk membanteras jenayah
pembuangan bayi ini yang semakin hari semakin kronik ini. Pihak kerajaan perlu
membincangkan permasalahan ini secara lebih serius dan mendalam di peringkat
parlimen dan keluar dengan satu keputusan yang memuaskan yang mana boleh
membantu menyelesaikan masalah ini. Sebagai contoh hukuman yang lebih berat dan
tegas dikenakan untuk kesalahan zina dan sebagainya. Golongan remaja adalah
golongan yang penting kerana untuk membina sebuah bangunan yang kukuh haruslah
dimulakan dengan batu konkrit yang tidak akan goyah walau dibadai tsunami.
Begitulah juga untuk membina sebuah negara yang maju bukan sahaja dalam ekonominya
bahkan juga dalam sahsiah dan pentadbirannya, Malaysia memerlukan remaja yang
kukuh pendirian serta kuat imannya yang tidak akan mencemarkan nama Malaysia.
Ironinya, semua pihak haruslah berganding bahu memainkan peranan masing-masing
untuk membanteras jenayah ini.
.jpg)
Sebagaimana yang sering disebut dalam rancangan
Wonder Pets, apa yang penting? Kerjasama!